PETALING JAYA, 26 Februari- Seorang penganggur warga Pakistan menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen sini atas kesalahan merogol dan merompak seorang wanita tempatan atas jejantas di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Serdang, bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Mudasar, 23, menukar pengakuannya di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh selepas mengaku bersalah pada 23 Januari lepas.
Dia didakwa merogol seorang wanita, 29, sambil mengacukan pisau sehingga meletakkan mangsa dalam ketakutan, kematian atau kecederaan itu turut dituduh merompak telefon bimbit jenis iPhone SE dan wang tunai bernilai RM80 milik mangsa.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Mac untuk sebutan kes berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam pada itu, di hadapan Hakim Noor Ruzilawati, Muhammad Mudasar yang didakwa bersama-sama rakan senegaranya, Muhamad Waqas atas pertuduhan rompak berkumpulan seorang lagi wanita turut menukar pengakuan bersalahnya kepada tidak bersalah.
Muhamad Waqas mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya atas pertuduhan sama.
Hakim Noor Ruzilawati menetapkan 26 Mac depan bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompak berkumpulan ke atas seorang wanita berusia 20 tahun dengan merompak dua telefon pintar jenis Samsung A03 dan iPhone 11, selain menggunakan sebilah pisau semasa melakukan kesalahan itu di lokasi sama sekitar pukul 11.15 malam pada 30 Disember tahun lalu.
Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.