KULIM, 26 Februari- Seorang lelaki maut dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam dalam kejadian di sebuah kedai kopi di Taman Damai, Padang Serai dekat Kulim, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, DSP Safuan Md Noor berkata dalam insiden pada kira-kira 1.20 tengah hari itu, mangsa yang berusia 27 tahun telah diserang oleh dua lelaki bersenjatakan parang dan sabit.
Menurutnya mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori telah dikejar oleh kedua-dua suspek dari luar kedai dengan cuba menyelamatkan diri dengan memasuki sebuah kedai kopi bagaimanapun telah ditetak sehingga rebah sebelum meninggal dunia di kedai berkenaan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian tangan, dada, belakang badan dan muka akibat kesan serangan menggunakan senjata tajam itu. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.
Safuan berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan kedua-dua suspek giat dijalankan serta kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.