KUCHING, 26 April -Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun disahkan maut selepas dipercayai terkena tembakan ketika memandu di Jalan Stephen Yong, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi dalam satu kenyataan memaklumkan, dua lelaki hadir ke Balai Polis Batu Kawa sekitar pukul 5.30 pagi dan memaklumkan bahawa rakan mereka telah ditemui terbaring dalam sebuah kereta.
Rakan-rakan mangsa juga membawa kenderaan serta mangsa ke balai polis berkenaan.
Pasukan siasatan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan bersama pegawai perubatan yang tiba di lokasi telah menjalankan pemeriksaan dan mendapati mangsa telah meninggal dunia.
Pemeriksaan lanjut turut menemui kesan tembakan pada bahagian kepala mangsa.
Menurut Mohd Irwan Hafiz, kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Sylvarius di talian 013-863 7241.