KUCHING, 9 Mac- Seorang lelaki yang didakwa mengalami masalah mental ditahan polis selepas bertindak mengamuk di Gereja St. Joseph, Kuching, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sekitar pukul 6.50 petang mengenai seorang lelaki tidak dikenali yang memasuki gereja berkenaan dengan menaiki sebuah kenderaan.
“Suspek dikatakan memasuki gereja melalui pintu utama sambil memainkan muzik dengan kuat dan memegang sebotol minuman keras.
“Dia kemudian bertindak memaki hamun jemaah menggunakan kata-kata kesat serta membaling botol sebelum beredar dalam keadaan marah,” katanya dalam satu kenyataan.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Sentral segera ke lokasi dan berjaya menahan suspek sebelum membawanya ke balai untuk tindakan lanjut.
Menurut Mohd Farhan, ahli keluarga suspek turut tampil ke balai polis dengan membawa dokumen berkaitan yang mengesahkan lelaki tersebut sedang menerima rawatan di Hospital Kota Sentosa, Kuching.
“Suspek dipercayai tidak mengambil ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital sejak beberapa hari,” tambahnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan atau mencemarkan tempat ibadah, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, Mohd Farhan menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau Pegawai Penyiasat kes, Insp Ang Mei Cin di talian 010-7039818.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden tersebut.