fb fb fb fb fb

Lelaki ditahan, miliki ratusan katrij vape disyaki berisi ganja

Lelaki ditahan, miliki ratusan katrij vape disyaki berisi ganja

PADAWAN, 9 Disember - Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki memiliki ratusan katrij vape dipercayai berisi cecair ganja dalam satu serbuan, di kawasan parkir perkarangan pusat perkhidmatan kurier di Jalan Kong Ping, di sini, kira-kira pukul 9.00 pagi, 5 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, pihak polis merampas 690 katrij vape disyaki berisi cecair ganja yang boleh digunakan sebanyak 3,450 kali, dianggar bernilai RM586,500.

Siasatan awal mendapati suspek, 20 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak September 2025.

"Suspek juga dipercayai menerima upah RM200 untuk mengambil bungkusan kotak di pusat perkhidmatan kurier, selain menerima bayaran RM20 bagi setiap katrij yang dihantar kepada pelanggan di sekitar Kuching dan Padawan," katanya demikian dalam sidang media tangkapan dan rampasan ganja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, Siburan, pada Selasa.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah, juga mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 7 hingga 13 Disember dan kes disiasat bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN