fb fb fb fb fb

Lelaki dipercayai terlibat kes khianat dan ugut, ditahan

FOTO HIASAN

IPOH, 1 Disember - Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat kes khianat dan ugutan jenayah, di sini.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penahanan ke atas suspek berusia 30an itu dibuat disekitar Sentul Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Turut dirampas barangan digunakan suspek untuk menjalankan aktiviti jenayah khianat tersebut dan suspek didapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan dan modus operandi mendapati suspek merupakan orang suruhan sindiket ah long dari negara jiran yang menerima upah untuk melakukan jenayah ugut dan khianat dengan api serta khianat dengan menyimbah cat merah keatas harta benda milik penghutang atau keluarganya.

"Jika penghutang gagal melangsaikan hutang pinjaman dan faedah yang dikenakan sindiket ini, suspek akan melakukan khianat keatas harta benda penghutang atau keluarganya sebagai amaran dan ugutan," kata Mohd Yusri, di sini.

Siasatan mendapati suspek telah terlibat dengan 13 kes khianat di Perak, Johor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Melaka dan Pahang.

Ahad lalu, polis menerima laporan mengenai kes khianat keatas seorang mangsa warga tempatan yang mendapati dua buah kenderaan miliknya telah dibakar suspek.

Kejadian berlaku disebabkan salah seorang ahli keluarga mangsa yang berada di Singapura gagal melangsaikan hutang pinjaman semasa berada di negara tersebut.

TETITIA YUSOFF