fb fb fb fb fb

Kastam tumpas sindiket, rampas dadah bernilai RM16 juta

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad menunjukkan rampasan barangan dadah ketamin seberat 260 kilogram (kg) bernilai RM15.6 juta pada 21 Nov lepas/FOTO BERNAMA

NILAI, 1 Disember - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas ketamin seberat 260 kilogram (kg) sekali gus menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah bernilai RM15.6 juta dalam dua kes berasingan pada 21 November lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, pasukannya telah menyita lima tong berwarna biru yang ditinggalkan di penghujung jalan di kawasan perumahan di Pandan Indah, Kuala Lumpur pada 3.50 petang .

"Hasil pemeriksaan menjumpai serbuk putih disyaki dadah berbahaya jenis Ketamin. Modus operandi yang digunakan adalah menggunakan laluan udara apabila pemeriksaan terhadap dagangan yang diikrarkan sebagai bahan kimia didapati tidak tertakluk kepada permit import daripada pihak berkuasa.

"JKDM sedang mengesan dua lelaki tempatan iaitu suspek utama kes tersebut, T Thangarajh berusia 30 tahun dan S Selvaraj berusia 36 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, di sini pada Jumaat.

Katanya, berdasarkan jumlah berat dadah diperolehi, dianggarkan seramai 1.3 juta individu dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah.

"Sehubungan dengan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam pada itu, satu lagi sindiket yang ditumpaskan pada 8 November lalu melibatkan dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 12 kilogram yang dianggarkan bernilai hampir RM400,000.

"Modus operandi yang digunakan menggunakan laluan laut melalui Port Dickson dengan penahanan seorang suspek. Sehubungan itu, kes disiasat di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN