fb fb fb fb fb

Lelaki didakwa cuba bunuh isteri di Balik Pulau

FOTO RTM

BALIK PULAU, 4 September- Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Balik Pulau atas pertuduhan cubaan membunuh isterinya menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di rumah mereka pada 27 Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, didakwa cuba membunuh Hanis Sofea Hamdan dalam bilik di rumah mereka di Lintang Bayan 1, Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas pada pukul 5.45 pagi.

Tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh dilaporkan tidak memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani, manakala tertuduh diwakili tiga peguam iaitu Muhaimin Hashim, Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan.

Pihak pendakwaan memohon tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk penilaian psikiatri berdasarkan memo perubatan daripada Hospital Pulau Pinang.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan merujuk kes mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah sebelum menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan semula.

SITI AISHAH BINTI MD ISA