fb fb fb fb fb

Lelaki ditahan cederakan ibu kandung guna rotan, bekas nasi

(Siaran media IPD Subang Jaya)

SUBANG JAYA, 22 Disember- Seorang lelaki ditahan kerana memukul ibu kandungnya menggunakan rotan dan bekas nasi di sebuah pangsapuri di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya pada Selasa, kira-kira pukul 8.00 malam telah menerima aduan daripada mangsa yang memaklumkan dia dipukul oleh anak kandung di rumahnya di Pangsapuri Mutiara Putra Heights di sini dengan menggunakan rotan dan bekas nasi.

Bertindak atas aduan itu, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual (D11) Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya menahan suspek berusia 30 tahun pada pukul 11.30 malam, hari sama.

"Punca pergaduhan adalah disebabkan mangsa menjawab 'tidak tahu' apabila suspek menanyakan di mana keberadaan teman wanitanya," katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan mencederakan manusia dengan menggunakan senjata.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Wan Azlan berkata, suspek yang mempunyai 13 rekod lampau termasuk jenayah dan dadah direman tiga hari sehingga esok.

"Saksi kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis menerusi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100.

"Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.

(Foto hiasan)

Media Baharu