fb fb fb fb fb

Lebih RM1.4 juta barang kes dilupus

Barang kes pelbagai jenayah bernilai lebih RM1.4 juta dilupuskan IPD Subang Jaya, hari ini.

SUBANG JAYA, 3 Jun - Lebih RM1.4 juta barang kes pelbagai jenayah dilupuskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Ia melibatkan barangan dirampas bahagian siasatan jenayah dan siasatan jenayah komersial melibatkan 635 siasatan sejak 2004 hingga 2024.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Mohd Fairus Jaafar berkata, pelupusan melibatan barang kes perjudian, bitcoin, kes kontraban dan lain-lain kesalahan jenayah.

“Antara barang kes yang dilupuskan termasuk 548 set komputer, telefon bimbit dan laptop digunakan untuk aktiviti perjudian, dengan nilai rampasan RM582,400

"Manakala, 635 buah mesin Bitcoin yang digunakan dalam aktiviti mencuri elektrik untuk perlombongan kripto, dengan nilai RM286,200," katanya ketika ditemui selepas pelupusan barangan tersebut di pekarangan IPD Subang Jaya, hari ini.

Selain itu, pelupusan turut melibatkan lebih 600 tin minuman keras, 502 botol arak dan 293 karton rokok pelbagai jenama tidak bercukai, dengan nilai rampasan RM362,911.

"29,307 keping VCD dan DVD cetak rompak, lima telefon bimbit dan empat laptop daripada kes jenayah komersil, bernilai RM214,149 turut dilupuskan," tambahnya.

Kesemua barang kes itu dilupuskan dengan cara musnah melalui kaedah e-sisa dan jualan sisa besi serta pepejal.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN