fb fb fb fb fb

Remaja dirogol 'kekasih' media sosial

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat pada sidang media, hari ini.

KOTA BHARU, 3 Jun - Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang sanggup bermotosikal menempuh perjalanan lebih 500 kilometer dari Tumpat ke Kulim, Kedah semata-mata mahu bertemu 'kekasih' baru dikenali, berakhir dengan dirogol.

Mangsa dipercayai mengenali suspek berusia 30-an menerusi media sosial itu, mengambil keputusan bertemu selepas baharu beberapa bulan berhubung secara maya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira tiga bulan lalu.

Menurutnya, tindakan remaja terbabit ke Kulim ditemani seorang rakan itu, disedari keluarga sebaik kembali ke rumah ibu bapa mereka selepas tiga hari.

"Bila kita buat siasatan, terdapat bahan bahan pornografi dikesan dalam telefon bimbit mangsa. Siasatan lanjut masih diteruskan.

"Kita harap ibu bapa selalu memantau tindak-tanduk anak masing-masing," katanya.

Beliau ditemui media pada forum Ketua Polis Kelantan 'Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan di Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat ahli keluarga mangsa dan siasatan sedang dijalankan.
 
Dalam kes berasingan, Datuk Mohd Yusoff berkata, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun diliwat rakan sekolahnya yang berusia 12 tahun dalam kejadian dua bulan lalu di sebuah sekolah tahfiz.
 
Kejadian terbongkar selepas mangsa menceritakan insiden itu kepada ibunya.
 
Tangkapan sudah dibuat, namun belum dituduh berikutan kes di bawah Seksyen 113 Akta keterangan.
 
Berdasarkan peruntukan seksyen terbabit, budak lelaki berumur di bawah 13 tahun tidak berupaya melakukan rogol.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN