fb fb fb fb fb

Lawan arus: Polis kesan pemandu lori beri keterangan

Sebuah video berdurasi 1 minit 33 saat memaparkan insiden sebuah kereta dipandu melawan arus di Taman Industri Integrasi Rawang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Polis mengesahkan bahawa pemandu sebuah kereta yang memandu melawan arus di Taman Industri Integrasi Rawang pada Isnin lalu telah tampil memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata kejadian kira-kira 7.50 pagi melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang memandu kereta jenis sedan berwarna perak dari Ijok ke Taman Industri Integrasi Rawang 2.

"Kejadian tersebut dilaporkan berlaku apabila kereta berkenaan dipandu secara melawan arus di jalan tersebut.

"Sebuah lori yang datang dari arah bertentangan terpaksa berhenti, namun pemandu kereta tersebut berjaya mengelak dari lori tersebut," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun tiada kemalangan yang berlaku dilaporkan.

Tambah Noor Ariffin, pemandu kereta sedan telah hadir ke Bahagian Trafik IPD Gombak untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu.

"Bagaimanapun, pemandu lori masih belum hadir untuk memberi keterangan," katanya.

Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada 26 Ogos, sebuah video berdurasi 1 minit 33 saat memaparkan insiden sebuah kereta dipandu melawan arus di Taman Industri Integrasi Rawang tular di media sosial.

Susulan itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan.

Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Suharman bin Che Musa, di talian 019-6751727 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.

GRACE AISYAH KEDAYAN