KUALA LUMPUR, 5 September - Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tangkap layar palsu membabitkan bekalan baja kepada pesawah.
Dalam siaran medianya kementerian itu berkata laporan dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan sewajarnya dikenakan kepada pihak yang membuat hantaran palsu dan tidak benar.
“Pejabat Menteri juga ingin mengesahkan bahawa tangkap layar yang dibuat itu adalah palsu.
“Pejabat Menteri ingin menafikan Menteri Datuk Seri Mohamad Sabu ada mengeluarkan kenyataan ‘pesawah diminta berjimat cermat menggunakan baja bagi membantu kerajaan’ seperti yang ditularkan,” menurut kenyataan itu.- Bernama