IPOH, 13 September- Sebanyak 493 unit katrij pencetak tiruan disita pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak hasil pemeriksaan di sebuah premis perniagaan di Jalan Pasir Puteh di sini kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan berikutan aduan oleh wakil pemilik cap dagangan berhubung penjualan katrij pencetak berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis tersebut.
“Hasil maklumat siasatan, katrij pencetak ini dipasarkan dan dijual melalui platform e-dagang. Pasukan serbuan menyita katrij pencetak berjenama yang disyaki menggunakan cap dagang palsu sebanyak 493 unit dan pelbagai dokumen.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM4,667. Seorang lelaki warga tempatan sebagai pengurus syarikat ditahan untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar yang dipakai dengan salah.
“Sekiranya disabit dengan kesalahan, jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu
“Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar,” katanya.
Menurut Kamalludin, jika orang itu ialah bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.