fb fb fb fb fb

Op Global: 13 penghuni rumah kebajikan dipercayai diliwat- Ketua Polis Negara

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR, 13 September- Seramai 13 penghuni rumah kebajikan dikaitkan 'Global Ikhwan Service and Business Holding' (GISBH) yang disiasat polis dipercayai menjadi mangsa liwat.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata perkara itu dikesan menerusi laporan polis dan soal siasat yang dijalankan menerusi Op Global.

Beliau berkata sebelum ini, terdapat empat mangsa mendakwa diliwat, sementara sembilan lagi mangsa pula dikesan dalam fasa kedua siasatan.

"Mereka ini mungkin generasi ketiga dan keempat.. generasi pertama sudah tentulah pembesarannya memang di taman asuhan tersebut. Risikan yang kami dapat apabila mereka berumur dua tahun saja anak ini akan diasingkan daripada keluarga dan diletakkan di rumah amal, ada juga maklumat yang kita terima ibu bapa mereka di Arab Saudi," katanya.

Beliau berkata polis telah membuka 24 kertas siasatan dalam operasi ini mengikut Akta Kanak-kanak 2001, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan lain-lain lagi akta yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, beliau berkata 159 daripada 171 individu yang ditahan mendapat kebenaran reman, selebihnya merupakan golongan di bawah umur dan tiada keperluan untuk disiasat.

"171 individu yang ditahan terdiri daripada penjaga dan pengurus rumah amal berkenaan, sebanyak 159 daripadanya telah ditahan reman antara empat dan tujuh hari.

"Mereka yang berumur antara 18 hingga 51 tahun ditahan di lokap di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

"Sebanyak 12 orang lagi merupakan remaja bawah umur dan tiada keperluan untuk pihak polis menahan reman mereka," katanya.

Menurutnya, selepas menjalani saringan kesihatan, 392 mangsa ekspoitasi yang berjaya diselamatkan akan ditempatkan pusat jagaan sementara secara berperingkat.

"Seramai 49 mangsa kanak-kanak berusia di bawah lima tahun telah diberikan perintah jagaan sementara di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Mangsa terlibat telah dipindahkan ke tiga pusat perlindungan iaitu di Bukit Beruntong, Cheras dan Seremban.Baki mangsa kanak-kanak lain akan dipindahkan secara berperingkat," katanya.

Sementara itu, Razarudin turut memaklumkan seorang lagi lelaki berumur 39 tahun ditahan semalam di Putrajaya kerana mengugut seorang wanita yang telah membuat laporan polis berkaitan syarikat berkenaan.

Beliau juga menasihati mana-mana bekas ahli dan yang pernah menjadi mangsa syarikat terbabit untuk tampil membantu siasatan kes itu.

ZEHRA BINTI ZAMBRI