BATU PAHAT, 13 September - Seramai 11 individu diberkas kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan judi haram.
Mereka ditahan menerusi 11 serbuan berasingan di premis perniagaan di sekitar Batu Pahat, kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk M.Kumar berkata, tangkapan melibatkan sembilan lelaki dan dua wanita berumur antara 19 hingga 51 tahun.
Pelbagai barangan turut dirampas termasuk wang tunai berjumlah RM1,457.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sejak Januari lepas, 1,227 individu berjaya ditangkap, disyaki terlibat dengan kegiatan judi haram.
Dalam tempoh tersebut, polis telah merampas pelbagai peralatan untuk tujuan berjudi serta wang tunai berjumlah RM128,293.