ALOR GAJAH, 13 September- Seorang pengasuh taska dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi di pusat jagaan di Taman Kelemak Utama pada 6 September lalu.
Tertuduh, Nor Afifah Abdullah Suhaimi, 34, hanya mengangguk faham sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian seorang bayi lelaki, Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri yang berusia lapan bulan.
Perbuatan dilakukan di Taska Anak Pintar Soleha Child Care Centre di Kilometer 32, Jalan Kelemak Utama, Alor Gajah antara pukul 7.30 pagi hingga 8.30 pagi, 6 September lalu.
Ibu kepada tiga anak itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazali Omar yang mengendalikan kes berkenaan memohon tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.
Tertuduh diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim.
Majistret Teoh menerima permohonan dengan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan 13 November ini sebagai tarikh sebutan semula, penyerahan dokumen dan laporan bedah siasat sebelum kes itu dirujuk ke Mahkamah Tinggi.
BERITA BERKAITAN: