fb fb fb fb fb

KPDN Pahang sita 630 liter minyak diesel subsidi

FOTO HIASAN

KUANTAN, 10 Jun - Sebanyak 630 liter minyak diesel subsidi disita kerana disyaki cuba diseleweng di stesen minyak di negeri itu menerusi Ops Kesan 2.0.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang Jezlily Jamaluddin berkata, tiga lelaki turut ditahan disyaki cuba menyeleweng minyak diesel bersubsidi dengan membuat pembelian dan mengisi ke dalam tong minyak dan jerigen melebihi had dibenarkan tanpa permit dalam operasi bermula 5.00 petang hingga 12.00 tengah malam semalam.

Beliau berkata KPDN negeri turut mengambil tindakan ke atas sebuah stesen minyak kerana bersubahat membenarkan pembelian minyak diesel melebihi kuantiti dibenarkan tanpa permit sah.

"KPDN Pahang telah memeriksa 45 stesen minyak secara rambang di seluruh negeri dan mengesan dua aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi berlaku di stesen minyak di Kuantan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya tiga kertas siasatan dibuka ke atas dua individu serta stesen minyak berkenaan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Jezlily berkata minyak diesel serta tiga kenderaan bersama-sama peralatan lain yang disita keseluruhan bernilai lebih RM191,000.

Katanya operasi melibatkan 27 anggota penguat kuasa KPDN seluruh negeri itu susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang berkuat kuasa hari ini bagi memastikan aktiviti penyelewengan bahan api itu di stesen minyak dapat dibendung.

TETITIA YUSOFF