fb fb fb fb fb

KPDN N.Sembilan rampas 116,623 liter diesel bersubsidi dalam lima serbuan

Foto ihsan KPDN N.Sembilan

SEREMBAN, 13 Disember -Sebanyak 116,623 liter diesel disyaki bersubsidi dianggarkan lebih RM250,000 dirampas dalam lima serbuan Op Tiris di daerah Seremban dan Kuala Pilah.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Muhammad Zahir Mazlan memaklumkan, tujuh lelaki tempatan telah ditahan.

"Hasil serbuan itu, lima kertas siasatan telah dibuka bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961. Turut disita dua buah lori tangki dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM400,000,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Muhammad Zahir, dalam serbuan pertama anggota KPDN Cawangan Kuala Pilah merampas 2,500 liter diesel.

Katanya, serbuan turut dilakukan dengan kerjasama pihak polis Bukit Aman terhadap sebuah premis milik pemborong berlesen minyak diesel dan menemukan 106,500 liter minyak diesel di dalam dua lori tangki dan empat unit tangki skid pada 5 Disember lepas.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN