fb fb fb fb fb

Dua pegawai, seorang bekas pegawai SPRM didakwa rompak ahli perniagaan

KUALA LUMPUR, 13 Disember - Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang bekas pegawai agensi penguatkuasaan itu dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan merompak pelbagai barangan termasuk beg berjenama Louis Vuitton (LV) serta wang tunai RM952,690 milik ahli perniagaan warga China Kun Gao.

Muhamad Haffiz Mohd Radzi, 33 dan Mohd Fahmee Mohamad Nor, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi manakala Azwan Asli, 38, membuat pengakuan sama di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan ke atas Kun Gao dengan merompak wang tunai RM952,690, Yuan1225, satu bagasi berwarna perak dan satu beg jenama LV berwarna hitam milik lelaki itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Ampang, pada 12 tengah hari, 10 Dis 2021, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding di hadapan Hakim Izralizam, Timbalan Pendakwa Raya Izralina Abdullah berkata pihaknya tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah membenarkan Muhamad Haffiz dan Mohd Fahmee diikat jamin, beliau memohon jaminan RM30,000 setiap seorang.

“Saya juga mohon syarat tambahan kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran kediaman mereka sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai,” kata Izralina.

Peguam S. Ravichandaran mewakili Muhamad Haffiz memohon jaminan RM5,000 dengan mengambil kira anak guamnya yang merupakan pegawai penyiasat Gred 41 berpendapatan RM3,000 sebulan perlu menanggung dua anak berumur lima dan dua tahun.

“Mahkamah juga perlu mengambil kira faktor yang mana anak guam saya tidak bersalah sebelum dibuktikan kesalahannya dan wang jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah,” katanya dan menambah bahawa tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Peguam R. Vikraman mewakili Mohd Fahmee memohon jaminan RM4,000 kerana anak guamnya yang merupakan pegawai akademi SPRM Gred 44 berpendapatan RM4,500 termasuk elaun selain mempunyai penyakit tekanan darah rendah.

“Tertuduh juga bapa tunggal yang membayar nafkah kepada bekas isteri dan seorang anak sebanyak RM2,000 sebulan selain memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dan tiada risiko untuk anak guamnya melarikan diri,” kata peguam itu.

Di hadapan Siti Aminah, Izralina memohon jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin diberikan terhadap Azwan berserta syarat tambahan dia perlu melapor diri di balai polis berhampiran manakala Vikraman memohon jaminan RM4,500.

Izralizam membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin terhadap Muhamad Haffiz dan Mohd Fahmee dengan syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Siti Aminah membenarkan Azwan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Kedua-dua mahkamah menetapkan sebutan kes pada 5 Feb 2024. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN