KOTA BHARU, 8 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan hari ini mengesahkan telah menyita 829 unit beg tangan wanita pelbagai jenama terkenal disyaki tiruan bernilai kira-kira RM33,314 di tiga lokasi perniagaan pada Rabu dan Khamis lepas.
Pengarahnya Azman Ismail menerusi satu kenyataan memaklumkan sitaan berkenaan dibuat menerusi Operasi Bersepadu bersama wakil pemilik cap dagang membabitkan satu kes di Kota Bharu, manakala dua kes di Machang.
Beliau berkata sitaan itu dilakukan susulan aduan oleh wakil pemilik cap dagang serta pemantauan risikan pihaknya selama seminggu sekitar Kota Bharu dan Kuala Krai.
“Operasi dilaksanakan di premis perniagaan barangan terpakai berjenama yang dijual secara atas talian bagi membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan, penggunaan cap dagangan tanpa kelulusan dan tanpa kebenaran daripada pemilik cap dagangan berdaftar.
“Hasil pemeriksaan menemukan beg tangan pelbagai jenis dan berjenama disyaki melanggar penggunaan cap dagangan berdaftar.
"Tiga tindakan kes dihasilkan mengikut kesalahan Seksyen 102 (1)(c) dan 100(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, kawalan dan jagaan bagi maksud perdagangan,"katanya.
Jelas Azman, pemilik premis perniagaan iaitu pertubuhan atau perbadanan boleh denda tidak melebihi RM 15,000 bagi setiap barang jika sabit kesalahan.
“Bagi individu atau perseorangan denda tidak melebihi RM 10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
“KPDN Kelantan memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga yang dengan niat melakukan aktiviti tidak bermoral ini supaya menghentikannya segera,” katanya.