SUNGAI PETANI, 28 Januari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak diesel.
Ia hasil penahanan sebuah lori jenis bonded dua tan di sekitar Sungai Petani, Kedah, semalam.
Sindiket berkenaan dipercayai membeli minyak diesel di stesen-stesen minyak berlainan sekitar Sungai Petani secara sedikit demi sedikit bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, hasil pemantauan dan pemerhatian pegawai penguatkuasa mendapati, lori tersebut membuat pembelian berulang di beberapa stesen minyak sekitar Sungai Petani.
Beliau berkata, pegawai penguat kuasa kemudian mengekori lori tersebut yang membuat pembelian sebanyak RM200 di stesen minyak pertama, RM150 di stesen minyak kedua dan RM150 di stesen minyak ketiga sebelum ditahan oleh pasukan penguatkuasa.
"Tindakan pembelian runcit tersebut adalah bagi mengaburi tindakan mereka daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
"Modus operandi berkenaan dikesan aktif di kawasan Perindustrian Sungai Petani dan dipercayai minyak diesel tersebut dijual ke negara jiran dan juga pihak industri tempatan.
"Hasil pemeriksaan terhadap lori tersebut menemukan dua unit IBC Tank berkapasiti 1,000 liter yang bersambung dengan dua unit pam dan hos minyak,"katanya.
Jelas Affendi, pam dipasang bagi menyedut minyak dari tangki asal masuk ke IBC tank tersebut.
Jumlah bahan api bersubsidi tersebut dianggarkan berjumlah 232 liter dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM500.
Turut disita, sebuah lori bonded bernombor pendaftaran tempatan, dua unit pam minyak dan hos serta dua unit IBC Tank berkapasiti 1,000 liter dengan anggaran nilai sitaan berjumlah RM16,500.
Katanya, pemandu lelaki berusia awal 40-an telah ditahan dan direman untuk siasatan lanjut.
Perintah reman diperolehi dari Majistret Mahkamah Seksyen Sungai Petani, hari ini.
Siasatan akan dijalankan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.