fb fb fb fb fb

Aktiviti penyeludupan, MARITIM Kuala Perlis rampas 37 guni benih kerang

Foto MARITIM

KUALA PERLIS, 29 Januari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM), Zon Maritim Kuala Perlis berjaya merampas 37 guni benih kerang yang ditinggalkan di muara Kuala Sungai Baru, Kuala Perlis, awal pagi Ahad.

Rampasan dibuat berikutan maklumat risikan yang diterima mengenai aktiviti penyeludupan benih kerang tersebut di sekitar perairan Kuala Perlis.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain dalam kenyataannya sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi namun seorang suspek bersama sebuah bot berjaya melarikan diri dan meninggalkan 37 guni berisi benih kerang yang dianggarkan seberat 30 kilogram bagi setiap guni.

"Benih kerang yang dianggarkan bernilai hampir RM20,000 itu dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut," kata kenyataan itu.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (a) dan Peraturan 9 (1) (Peraturan-peraturan Perikanan Pemuliharaan Kultur Kerang 2002) iaitu larangan menjual benih kerang tanpa lesen.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM