KOTA BHARU, 23 Jun- Polis Kelantan mengesan Kota Bharu menjadi daerah tertinggi membabitkan aktiviti judi dalam talian dengan sebanyak 37 kertas siasatan direkodkan sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, daripada jumlah itu, 27 kertas siasatan telah berdepan pendakwaan di mahkamah manakala lapan kes sudah selesai dan dua lagi masih dalam siasatan.
Selain itu, Pasir Mas merupakan daerah kedua tertinggi dengan merekodkan 27 kertas siasatan diikuti Tanah Merah (24) dan Machang (23).
"Judi ekor haram, judi yang sekarang ini tengah popular. Judi secara dalam talian ini ada pelbagai."
"Macam-macam bentuk judi. Kelantan ini lebih kepada penggunaan sendiri, guna telefon atau pun judi tambah nilai. Yang ini kita ambil tindakan," kata Datuk Muhammad Zaki kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini.
Mengulas lanjut, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Dalam pada itu, katanya, sejak Januari hingga kini, 83 kes direkodkan dengan Pasir Mas dan Tanah Merah Merah merekodkan kertas siasatan paling tinggi iaitu 14 kes.
Beliau berkata pihaknya mengambil serius dan komited bagi membanteras aktiviti terbabit supaya tidak terpengaruh kepada khususnya golongan remaja.