KOTA BHARU, 23 Jun- Dua individu dipercayai sepasang kekasih ditahan polis bersama 30 bungkusan berbentuk ketulan mampat disyaki ganja seberat 31.73 kilogram dalam serbuan di Kampung Gaung Lati, Pasir Mas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, lelaki tempatan, 22, dan wanita warga Thailand, 23, ditahan pada pukul 2.30 petang Jumaat lepas.
Hasil pemeriksaan dalam kenderaan yang dinaiki mereka menemukan satu plastik berisi 30 ketulan mampat dadah berkenaan di atas kerusi penumpang dengan anggaran nilai rampasan termasuk kenderaan adalah RM97,500.
"Tangkapan ini melibatkan suspek tempatan berumur 22 tahun berasal dari Pasir Mas, (manakala) wanita berasal dari Narathiwat, Thailand. Kedua-duanya tiada rekod lampau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Susulan penangkapan itu, polis menahan seorang lelaki warga Thailand dan merampas 18,000 biji pil kuda di sebuah pangkalan haram di Rantau Panjang.
Suspek ditahan pada hari sama pada pukul 9.45 malam dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM270,000.
Kesemua suspek direman selama seminggu sehingga 27 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Akta 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.