fb fb fb fb fb

Kes lepas tembakan di Tumpat, polis jalan siasatan dengan Thailand

Polis Marin Malaysia bersama pihak berkuasa Thailand menjalankan operasi bersama di kawasan perairan sempadan negara

KOTA BHARU, 23 Jun- Polis sedang menjalankan siasatan termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand berhubung tindakan penyeludup melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di pangkalan haram Pok Mat, Tumpat, Rabu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kerjasama tersebut bagi pertukaran maklumat selain memburu suspek yang terlibat.
 
Beliau memberi jaminan bahawa siasatan dilakukan dengan teliti berikutan ia membabitkan hubungan antara dua negara.
 
“Kita mahukan satu penjelasan atau hasil siasatan yang jelas. Kita juga akan pastikan sempadan negara dikawal dengan baik... sebagaimana yang kita tahu banyak agensi-agensi terlibat di sempadan, dalam soal penguatkuasaan dan sebagainya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
 
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, pihaknya akan memanggil agensi penguatkuasa di sempadan untuk menyelaraskan operasi supaya bantuan segera dapat diberikan sekiranya berlaku kecemasan.

Terdahulu media melaporkan, sekumpulan penyeludup melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota JKDM yang cuba mematahkan aktiviti penyeludupan di Sungai Golok berhampiran pengkalan haram Pok Mat di Tumpat.

Kejadian berlaku pada Rabu lalu sekitar pukul 9.45 pagi ketika lima anggota penguatkuasa JKDM menjalankan rondaan air di lokasi terbabit sebelum mengesan 15 buah bot berenjin galah melakukan aktiviti pemunggahan dipercayai mengandungi minyak petrol bersubsidi dan diesel.

SITI AISHAH MD ISA