fb fb fb fb fb

Kondominium mewah lokasi popular jadi pusat sindiket penipuan dalam talian

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid

KUALA LUMPUR, 24 Oktober- Sebanyak 1,311 serbuan membabitkan jenayah dalam talian direkodkan antara Januari hingga September.

Daripada jumlah itu, seramai 855 individu ditahan dan 71 kertas siasatan dibuka.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, dalam tempoh dua bulan terakhir, sebanyak 20 pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian diserbu.

Allaudeen berkata, sindiket penipuan dalam talian kebanyakannya beroperasi di kondominium di ibu negara serta menegaskan supaya pihak pengurusan untuk sentiasa memantau premis mereka.

"Kalau saya sebut nama kondominium-kondominium itu anda juga pun akan terkejut, saya nasihatkan kepada samaada pengurus-pengurus bangunan berilah perhatian kepada apa yang berlaku dalam kawasan pengurusan masing-masing.

“Bagaimana sebuah kondominium mewah boleh membenarkan individu warga asing untuk bebas keluar masuk premis dengan mudah? Kita (orang tempatan) untuk masuk ke premis berkenaan pun sukar,”katanya.

Tambah beliau, serbuan tersebut membawa kepada penahanan 343 individu dan daripada jumlah itu 10 suspek telah didakwa di mahkamah.

Menurut Allaudeen, pihaknya akan melalukan pemeriksaan ke atas pengawal-pengawal keselamatan yang bertugas di kondominium kerana dikhuatiri dalam kalangan mereka yang bersekongkol dengan sindiket penipuan dalam talian.

Beliau turut telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPK KL untuk melipatgandakan usaha membanteras sindiket pusat panggilan penipuan dalam talian secara total.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE