fb fb fb fb fb

Dua suspek samun berjaya ditahan polis Perak

Barangan milik suspek yang dirampas polis Perak

IPOH, 24 Oktober- Dua lelaki ditahan, dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan parang sekitar Ipoh pada semalam.

Paket disyaki dadah jenis heroin serta peralatan yang digunakan dalam kejadian itu, turut ditemukan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata bertindak atas maklumat, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ipoh telah berjaya mengesan dan mengekori suspek sehingga ke Kampung Gajah.

Apabila menyedari kehadiran pihak polis, kedua-dua suspek berusia 28 dan 31 tahun telah memecut kenderaan dinaiki.

Semasa proses tangkapan dibuat, suspek cuba melarikan diri dengan melanggar kenderaan serta menyeret salah seorang anggota sehingga memaksa polis melepaskan satu das tembakan untuk mempertahankan diri.

Suspek yang memandu kenderaan mengalami luka di bahu akibat terkena tembakan dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM