fb fb fb fb fb

Kilang padi disiasat dan dikenakan POK akibatkan pencemaran udara

Foto hiasan

YAN, 16 Mac - Sebuah kilang padi di sini, dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) selepas didapati melakukan pencemaran udara dan menyebabkan kacauganggu serta ketidakselesaan kepada penduduk setempat.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, hasil aduan orang awam, pihaknya telah menjalankan siasatan di kilang terbabit semalam.
 
Hasil siasatan mendapati, aduan tersebut adalah benar.
 
"Premis kilang padi terbabit telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38 (1) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana kegagalan alat kawalan pencemaran udara berfungsi dengan baik dan mengalami kebocoran seterusnya menyebabkan pencemaran udara yang ketara di sekitarnya," kata Sharifah Zakiah.
 
Beliau berkata, tindakan POK diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku dan premis diarahkan bagi menghentikan operasi supaya langkah-langkah pembaikan dijalankan dengan segera bagi mengawal pencemaran yang berlaku.
 
Katanya, Notis Arahan Seksyen 31 & 37 dikeluarkan kepada premis untuk tindakan pembaikan dan penyelenggaran segera dalam tempoh POK tersebut.
 
Premis akan dibenarkan beroperasi kembali selepas JAS Kedah berpuashati dengan langkah pembaikan yang diambil.
 
Pihak industri diingatkan agar sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta memastikan tidak menyebabkan apa-apa pencemaran kepada alam sekeliling.
 
Orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.
 

TETITIA YUSOFF