fb fb fb fb fb

Kes ugut ibu Kor Ming :Polis panggil lapan saksi bagi bantu siasatan

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri / Foto RTM

IPOH, 21 Mac - Lapan saksi dipanggil bagi membantu siasatan kes ugutan yang diterima ibu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kesemua yang dipanggil terdiri daripada jiran dan kenalan mangsa.

Menurut Yusri, siasatan dibuat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini kita masih lagi menjalankan siasatan bagi mengesan pelaku yang membuat edaran risalah tersebut dan setakat ini kita pun telah mengambil beberapa saksi untuk diambil keterangan rakaman percakapan.

"Seramai lapan orang dipanggil pihak polis bagi membantu siasatan ini", katanya yang ditemui RTM selepas menjadi tetamu dalam rancangan Eksklusif @Perakfm bersempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 Peringkat Negeri Perak di sini.

Pada 7 Mac lalu, ibu kepada Ahli Parlimen Teluk Intan itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung berhubung ugutan diterima di hadapan rumahnya di Ayer Tawar Manjung.

Ugutan disedari mangsa berusia 76 tahun itu semasa keluar dari rumah dan mendapati banyak kertas bertaburan di hadapan rumah dengan tulisan berbaur amaran.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan kes dakwaan gangguan seksual di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Yusri memaklumkan pihaknya measih meneruskan siasatan dan telah menerima laporan polis daripada pengadu yang namanya disebut dalam surat layang tersebut.

Kerjasama baik diterima daripada pihak hospital dan siasatan yang dijalankan meliputi semua aspek.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD