fb fb fb fb fb

Kes pegawai kanan Polis bunuh pelajar dipindah ke Mahkamah Tinggi

Foto RTM

IPOH, 21 Mac -Kes membabitkan seorang pegawai kanan polis yang didakwa membunuh pelajar tingkatan 5 di Taman Jati Ipoh, tahun lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. 

Majistret S.Punitha membenarkan permohonan dikemukakan pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dalam prosiding sebutan semula kes hari ini. 

Permohonan dikemukakan mengikut Seksyen 177 A (1) Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan untuk kes itu disebut semula di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu tertuduh tiba di Mahkamah Majistret Ipoh dengan berpakaian serba hitam dan memakai pelitup muka kira-kira pukul 9 pagi.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri Abdul Razak, 45 tahun, didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17 tahun.

Perbuatan dilakukan pada 15 Disember antara pukul 12.05 hingga 12.40 tengahari di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati dalam Daerah Kinta, Perak.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 sebatan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD