BATU PAHAT, 20 Mac - Polis menemui 193 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai lebih RM200,000 di sebuah rumah di Taman Harmoni, Parit Sulong, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata ia hasil risikan selama sebulan dijalankan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 ke atas rumah terbabit yang dipercayai menjadi stor simpanan sebelum dipasarkan di sekitar daerah itu.
Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik dan penghuni rumah terbabit berhubung rampasan berkenan.
"Ketika serbuan dilakukan, tiada penghuni di rumah tersebut, jadi kami terpaksa memecahkan kunci.
"Oleh sebab itu kita sedang berusaha mengesan siapakah pemilik rumah tersebut dan siapa yang bertanggungjawab, mungkin nanti dapat membantu kita menjalankan siasatan," katanya pada sidang media di IPD Batu Pahat, hari ini.
Pihaknya turut menasihatkan orang awam supaya tidak melanggar undang-undang dalam mencari pendapatan sampingan dan sentiasa menjaga keselamatan diri ketika musim perayaan.
Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1967.