fb fb fb fb fb

Kes bunuh teman wanita hamil dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang

Foto Hiasan

SUNGAI BESAR, 21 Mac- Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan kes seorang lelaki yang didakwa membunuh seorang wanita hamil di Jalan Sungai Limau dekat sini, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang.

Majistret, Siti Hajar Ali memutuskan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal untuk memindahkan kes dihadapi Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 21, ke Mahkamah Tinggi Klang.

Pada prosiding hari ini Muhammad Fakrul Aiman, yang juga bekas penuntut kolej diwakili peguam Muhammad Nor Tamrin.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakrul didakwa melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira pukul 8.30 malam 22 Mei sehingga pukul 8 pagi 23 Mei tahun lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan di luar nikah dipercayai punca seorang pelayan restoran dibunuh secara kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit, Jalan Sungai Limau di sini pada 22 Mei tahun lepas.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI