AYER KEROH, 17 Disember - Polis Melaka membidas kenyataan Peguam Rajesh Nagarahan mengenai rekod jenayah teman wanita penjenayah yang ditembak di Durian Tunggal, Melaka, adalah tidak relevan dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan kes tersebut.
Ketua Polisnya, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kenyataan itu seolah-olah meragui kesahihan fakta yang telah disampaikan pihak polis.
“Kenyataan ini dibuat susulan tular di media sosial mengenai wanita ini yang didakwa mempunyai beberapa rekod jenayah. Sebagai Ketua Polis Negeri, memang menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan perkara yang disebarkan di media sosial.
"Wanita berkenaan tidak pernah ditangkap secara rasmi, namun, rekod menunjukkan terdapat 10 laporan tangkapan. Oleh itu, kita menegaskan supaya masyarakat tidak keliru dengan maklumat yang bercanggah,” katanya demikian selepas sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Melaka, di sini.
Sementara itu, mengulas mengenai arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk siasatan kes tembakan membabitkan tiga lelaki di Durian Tunggal tersebut, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pihaknya menerima arahan itu dengan sifat terbuka dan siasatan akan diserahkan sepenuhnya kepada Bukit Aman.