fb fb fb fb fb

Projek Telaga Jejari: Dua bekas pegawai kanan Air Kelantan direman

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009

KOTA BHARU, 16 Mei - Empat lelaki termasuk dua bekas pegawai kanan syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung pembinaan Projek Telaga Jejari yang gagal berfungsi bagi membekalkan air kepada penduduk.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid bermula hari ini hingga Sabtu bagi membolehkan mereka disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kesemua suspek yang berusia 40 hingga 60-an itu akan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, keempat mereka diiringi empat pegawai SPRM tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu pada pukul 8.45 pagi dengan memakai pakaian lokap oren SPRM dan pelitup muka.

Semalam media melaporkan, SPRM menahan empat individu termasuk dua bekas pegawai kanan AKSB dan dua pemilik syarikat yang diberi tanggungjawab sebagai perunding di empat lokasi berasingan pada 10.00 pagi semalam.

Mereka ditahan kerana disyaki terbabit dalam pembinaan telaga jejari yang tidak berfungsi untuk membekalkan air kepada penduduk.

SPRM turut menyita beberapa barangan seperti dokumen dan telefon bimbit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya menjalankan siasatan terhadap 28 telaga jejari yang dibina menerusi Projek Pembinaan Telaga Jejari (HCW).

Katanya, ia membabitkan 10 projek pembinaan serta membaik pulih loji rawatan air (LRA) dianggarkan berjumlah lebih RM300 juta yang dibina AKSB, namun didakwa gagal berfungsi bagi membekalkan air kepada penduduk.

GRACE AISYAH KEDAYAN