fb fb fb fb fb

Kes pukul isteri sehingga koma, keputusan ditangguh ke 9 Disember

Mahkamah Sesyen Johor Bahru menetapkan 9 Disember 2024 sebagai tarikh keputusan bagi kes seorang lelaki didakwa memukul isterinya sehingga koma tiga tahun lalu / Foto RTM

JOHOR BAHRU, 3 November – Mahkamah Sesyen Johor Bahru menetapkan 9 Disember 2024 sebagai tarikh keputusan bagi kes seorang lelaki didakwa memukul isterinya sehingga koma tiga tahun lalu.

Hakim, Fatimah Zahari menetapkan tarikh tersebut setelah tertuduh, Rosmaini Abdul Raof, 41, tidak hadir ke mahkamah kerana dikatakan tidak sihat.

Kes yang sepatutnya diputuskan hari ini melibatkan insiden pada 4 Mei 2021, di mana tertuduh didakwa menyerang isterinya, Jahidah Nordin, 46, di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin, Johor Bahru, sekitar pukul 6 pagi.

Mangsa yang ketika itu sedang hamil, mengalami kecederaan parah sehingga koma dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Bayi mangsa dilaporkan selamat dilahirkan pada 29 November 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325, dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Salleh Togimen, dibantu Kamal Hisyam Jaafar dan Aina Kamilah Zailizan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN