GEORGE TOWN, 2 November – Polis Pulau Pinang menahan seorang wanita dan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Dalam serbuan di parkir kenderaan di Gelugor, George Town, kelmarin, pihak berkuasa merampas lebih 25 kilogram ganja bernilai RM79,680.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata, serbuan tersebut membawa kepada penemuan satu kotak berwarna coklat, satu beg kain berwarna hitam, dan 25 ketulan dadah jenis ganja.
"Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek bebas dadah. Mereka juga mempunyai rekod lampau kesalahan dadah dan jenayah," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.