KUALA LUMPUR, 21 Ogos- Siasatan kes kematian Muhammad Nidza Afham Mokhtar masih diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil siasatan terkini adalah konsisten dengan laporan bedah siasat yang dijalankan oleh Hospital Shah Alam.
"Siasatan masih lagi konsisten dengan kertas siasatan yang dibuka iaitu SDR kerana tiada apa-apa unsur jenayah yang ditemui, hasil daripada 'post-mortem' konsisten dalam hasil siasatan dalam SDR.
"Pihak kami masih lagi lagi mengkaji ataupun melawat kawasan, menyiasat, sekiranya ada 'fall play' yang dapat dirakam daripada mana-mana CCTV ataupun 'dashboard' atau 'witness' yang ada di situ untuk mengatakan sebaliknya dan daripada apa yang ditemui secara saintifik..kalau ada 'lead' kita akan reklasifikasi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kursus Sains Tingkahlaku di Maktab PDRM Kuala Lumpur di sini.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata kertas siasatan berhubung kes kematian Teoh Beng Hock sedang dikaji semula.
Mohd Shuhaily berkata, pihaknya sedang mendapatkan nasihat daripada Pejabat Peguam Negara berhubung tindakan seterusnya.
"Kita telah terima IP (kertas siasatan) daripada pihak AG (peguam negara). kita sedang mengkaji dan menunggu nasihat lanjut," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kerajaan bersetuju untuk pihak polis membuka semula kertas siasatan terkait kematian mendiang itu.
Beliau turut memberi jaminan siasatan kali ini akan dilaksanakan secara telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata kebanyakan kes pembunuhan yang berlaku di Malaysia melibatkan suspek dan mangsa yang saling mengenali.
Itu merupakan faktor persamaan yang terdapat dalam kes-kes pembunuhan yang telah berlaku.
Katanya lagi, bilangan kes jenayah pembunuhan secara rambang di Malaysia masih lagi kecil jika dibandingkan dengan negara lain.
"Mangsa mengenali suspek dan suspek mengenali mangsa, sama ada ianya ada perhubungan keluarga.. persahabatan.
"Jadi dalam konteks itu terdapat perkara yang berlaku di antara kedua-duanya. Dalam konteks Malaysia ini, 'random murder cases' yang berlaku secara spontan itu begitu kecil, contohnya samun jadi bunuh. itu berlaku tapi dalam kadar yang begitu kecil," katanya.
Selain itu, Mohd Shuhaily berkata 'Behavioral Science Unit' (BSU) dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dilancar oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
Unit tersebut dilancar dengan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Jelasnya, BSU dalam JSJ bertujuan menjadikan siasatan polis lebih efektif, berfokus dan tepat.
"Benda ini bagi saya dan JSJ adalah satu proses yang perlu memandangkan kompleksiti jenayah hari ini dan mengenali dan inginkan satu analisis jenayah yang lebih menyeluruh.
"..Dengan harapan ia adalah komposisi psikologi, komposisi forensik, dan komposisi siasatan itu sendiri yang mana pada akhirnya akan menghasilkan satu mutu siasatan yang lengkap dan baik untuk pendakwaanlah untuk seterunya," katanya.