fb fb fb fb fb

Kes 1MDB Najib: Pendakwaan tutup kes selepas 235 hari perbicaraan

Tiada lagi saksi yang perlu dipanggil atau disoal balas dalam kes perbicaraan 1MDB/Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Mei - Pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menutup kesnya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa pihaknya membuat keputusan untuk menutup kes itu selepas tiada lagi saksi yang perlu dipanggil atau disoal balas.

"Saya dengan ini menutup kes pendakwaan selepas 235 hari perbicaraan yang memakan masa enam tahun dan mendengar keterangan 50 saksi,” katanya.

Najib pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen pada 20 Sept 2018 dan kes itu kemudian dipindah ke Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2018.

Antara yang memberi keterangan ialah bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohamad Bakke Salleh dan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan.

Mahkamah kemudian mengarahkan pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujah bertulis pada 26 Julai dan hujah balas pada atau sebelum 9 Ogos ini serta menetapkan empat hari dari 19 hingga 22 Ogos untuk mendengar hujahan secara lisan.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di bank sama antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN