SEREMBAN, 30 Mei - Kegiatan sindiket aktif mengedar rokok dan bir tidak sah tumpas dalam operasi khas yang dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan di dua lokasi berbeza di Shah Alam, Selangor, awal bulan ini.
Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM623,137.20 termasuk cukai rokok dan bir oleh sebuah sindiket didalangi warga Bangladesh.
Pengarahnya Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata, serbuan dilakukan di dua lokasi berasingan termasuk sebuah banglo tiga tingkat di Shah Alam, Selangor.
"Rampasan pertama melibatkan pemeriksaan ke atas sebuah kereta dan di kantin kawasan penempatan pekerja warga asing yang menemukan 14,500 paket atau 288,800 batang rokok serta 216 tin (99.36 liter) bir pelbagai jenama dan saiz.
"Turut ditahan seorang warga Bangladesh berusia 40 tahun bagi membantu siasatan.
"Modus operandi sindiket adalah rokok dan bir diseludup yang dipercayai masuk tanpa pengimportan yang sah dan disimpan di penempatan kerja warga asing dan banglo yang dikawal oleh warga asing sebelum diedar ke pasaran tempatan dengan menggunakan kenderaan seperti kereta dan dijual dengan harga yang murah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat JKDM, Seremban Dua di sini, hari ini.
“Susulan penahanan itu, pasukan turut melakukan pemeriksaan di sebuah banglo di Setia Alam kira-kira 10 malam hari sama dan menemukan 31,986 paket atau 485,000 batang rokok putih pelbagai jenama dan saiz,” katanya.
Tambahnya, kesemua rampasan adalah Barang Larangan Import dibawah Butiran 1 Bahagian 2 Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import ) 2023.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976," tambahnya.