KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Sebuah kenderaan milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dilaporkan rosak teruk dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian di Pusat Niaga Paya Keladi, di sini.
Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion, berkata kejadian disedari apabila cermin hadapan kenderaan utiliti sukan (SUV) berkenaan didapati retak, manakala cermin sisi dan cermin penumpang kanan pula pecah.
Menurutnya, ketika kejadian, kenderaan itu diletakkan di kawasan parkir berhampiran lokasi kursus yang dihadiri oleh pegawai bertugas.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek merupakan seorang lelaki yang menggunakan objek menyerupai sebatang kayu untuk menghentak cermin kenderaan terbabit,” katanya.
Mohd Zamri berkata, siasatan awal mendapati kemungkinan wujud unsur provokasi walaupun tidak menunjukkan ketegangan yang serius.
“Kita nampak ada unsur provokasi walaupun dalam media sosial. Namun, kita ingin beri amaran kepada orang awam supaya tidak bertindak di luar batasan, kerana kes khianat melibatkan aset kerajaan akan dikenakan tindakan perundangan tegas,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Kuala Terengganu.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Zamri memaklumkan bahawa pemasangan peranti had kelajuan (Speed Limiter Device, SLD) bagi kenderaan perdagangan mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober lalu.
Katanya, Operasi Khas Gempur (Ops Gempur) Kenderaan Perdagangan yang bermula 1 September lalu dan akan berakhir 31 Disember ini turut memberi tumpuan terhadap pelbagai kesalahan termasuk memandu di lorong kanan secara berterusan, memotong garisan berkembar, serta kesalahan teknikal serius.