fb fb fb fb fb

Kebakaran bongkar dua makmal dadah di Senai

Sebanyak empat tan dadah dirampas dianggarkan bernilai RM17.77 juta dirampas sekali gus menjadikan rampasan terbesar di negeri ini pada tahun ini

KULAI, 24 September - Kebakaran sebuah kilang di Senai pada 14 September lalu membongkar kewujudan dua makmal haram memproses dadah, dengan rampasan seberat 4,034 kilogram bernilai RM17.77 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rampasan termasuk cecair, pil Eramin 5 serta bahan kimia untuk memproses dadah.

“Seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan sehari selepas kejadian di sebuah rumah di Seri Alam. Tangkapan itu membawa kepada penemuan sebuah lagi kilang di Desa Idaman, Senai,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kilang kedua itu turut dijadikan makmal pemprosesan dadah dan berfungsi menyimpan bahan kimia, selain empat kenderaan turut dirampas.

“Kami percaya sindiket ini beroperasi secara komersial dan mampu menghasilkan sehingga 100,000 tablet Eramin 5 sehari menggunakan mesin yang ditemui,” katanya.

Suspek yang ditahan bertindak sebagai penghantar dadah dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Manakala tindakan sitaan dibuat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Polis kini memburu tiga lagi individu berusia 24 hingga 25 tahun yang dipercayai dalang sindiket berkenaan yang aktif sejak Februari lalu bagi pasaran tempatan serta eksport luar negara.

GRACE AISYAH KEDAYAN