fb fb fb fb fb

Kastam Sarawak tumpaskan cubaan bawa masuk 24.4 kilogram dadah

Dadah seberat 24.4 kilogram dirampas JKDM Sarawak

KUCHING, 28 Mac- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya mematahkan cubaan membawa masuk dadah seberat 24.4 kilogram ke Kuching pada 22 Mac lepas.

Pengarah Kastam Negeri Norizan Yahya dalam satu kenyataan berkata, dadah jenis methamphetamine tersebut dianggarkan bernilai RM872,000.

"Dadah terbabit dibungkus dengan plastik lutsinar dan dimasukkan ke dalam dalam dua bungkusan makanan haiwan.

"Ia dikirim melalui perkhidmatan kurier dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, LTAK pada 18 Mac," kata kenyataan itu.

Berdasarkan kepada nota penghantaran, bungkusan itu dihantar dari Shah Alam, Selangor kepada seorang wanita yang beralamat di sebuah pangsapuri di Taman Stapok, menggunakan akaun perniagaan dalam talian terkemuka melalui laluan Shah Alam-Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)-Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Sepasukan pegawai dari Cawangan Narkotik JKDM Sarawak melakukan pemantauan dan pemerhatian ke atas penghantaran dua bungkusan berkenaan yang dikendalikan oleh syarikat kurier.

Bagaimanapun penerima enggan menerima bungkusan di lokasi alamat yang tertera, sebaliknya meminta untuk membuat tuntutan melalui kaunter syarikat kurier berkenaan.

"Intipan dan penyamaran dilakukan selama empat hari di kaunter syarikat kurier namun tiada individu yang tampil untuk membuat tuntutan.

"Bungkusan tersebut kemudiannya disita oleh Cawangan Narkotik JKDM Sarawak pada 22 Mac," katanya.

Individu berkaitan dengan rampasan tersebut dikesan berpandukan kepada maklumat yang diperolehi daripada pengendali perkhidmatan kurier, penyedia perkhidmatan dalam talian, rekod telekomunikasi dan rekod perbankan individu-individu berkaitan.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI