SEREMBAN, 28 Mac - Mahkamah Tinggi Seremban hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang bekas mahasiswa kerana didapati bersalah memiliki dadah jenis Kanabis seberat 1.9 kilogram (kg).
Hakim Datuk Rohani Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan serta proses perbicaraan yang berlangsung sejak 10 April tahun lalu melibatkan lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh Muhammad Nur Arif Nur Akil ketika kejadian berusia 22 tahun pada 2 September 2020 bertempat di tempat letak kereta Pasaraya Aeon Mall Seremban Dua, didapati mengedar dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 1.9 kilogram.
Dia didapati melakukan kesalahan bawah Seksyen 39 B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 B (2 ) akta yang sama.
Tertuduh akan menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ala’uddin Baharom dan tertuduh diwakili peguam bela, Shah Rizal Abdul Manan.