fb fb fb fb fb

KPDN Perak gagalkan cubaan seludup minyak diesel bersubsidi bernilai lebih RM1 juta

Foto RTM

BAGAN DATUK, 28 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mematahkan cubaan penyeludupan minyak diesel bersubsidi dengan nilai rampasan lebih RM1 juta.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa KPDN Negeri melalui ‘Op Tiris 3.0’ sekitar pukul 12.30 tengah hari pada Selasa.

Jelasnya, operasi berkenaan hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan pihaknya selama seminggu di sekitar Hutan Melintang, Bagan Datuk.

Kamalludin berkata, siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan menggunakan beberapa kepala treler yang diubah suai tangki dan membuat pembelian minyak berulang kali di stesen sekitar Hutan Melintang.

Diesel yang dibeli itu kemudiannya dipindahkan ke skidtank yang diletakkan di sebuah premis disyaki tidak berlesen sebelum dijual kepada pengguna industri dengan mengambil keuntungan berlipat kali ganda.

Katanya, pihaknya menemui 4,415 liter cecair yang disyaki minyak diesel bersama lapan skidtank, peralatan pam penyedut, tiga treler dan dua lori muatan 5 tan.

Menurut Kamalludin, dua lelaki tempatan dipercayai pemandu dan pengurus premis berusia 50 dan 61 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Tambah Kamalludin, semua barangan dan diesel membabitkan nilai lebih RM1 juta disita bagi siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Ujarnya, KPDN juga akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap stesen minyak yang disyaki bersubahat dengan sindiket tersebut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD