fb fb fb fb fb

KPDN Sarawak sita lebih 12,000 liter diesel bersubsidi

KPDN Sarawak menyita 12,569 liter minyak diesel bersubsidi

KUCHING, 28 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak telah menyita 12,569 liter minyak diesel bersubsidi termasuk lima buah kenderaan di Jalan Tan Sri Amar Wee di Kuching Selasa lepas.

KPDN Sarawak menerusi satu hantaran di Facebook berkata, keseluruhan rampasan bernilai RM289,623.

Rampasan dilakukan setelah menerima satu kes serahan daripada Pasukan Gerakan Am melibatkan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di kawasan itu.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi dua juta ringgit bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi lima juta ringgit bagi kesalahan kedua untuk sesuatu pertubuhan perbadanan.

"Manakala bagi orang perseorangan didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya dan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan kedua atau penjara tidak melebihi tempoh selama lima tahun atau kedua-duanya," kata hantaran itu.

Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti rantaian pengedaran minyak diesel.

Bagaimanapun orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak kementerian menerusi aplikasi Ez ADU KPDN atau portal aduan di e-aduan.kpdn.gov.my dan pusat talian 1-800-886-80.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI