fb fb fb fb fb

Kastam Perak tumpas aktiviti penyeludupan bernilai RM600,000

JKDM Perak berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok, minuman keras tidak berdaftar, dadah dan minyak diesel bersubsidi dalam tiga operasi sepanjang Ogos hingga September / Foto RTM

IPOH, 30 September – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok, minuman keras tidak berdaftar, dadah dan minyak diesel bersubsidi dalam tiga operasi sepanjang Ogos hingga September, dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM600,000.

Pengarah JKDM Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata dalam operasi pertama, lebih 300,000 batang rokok dan lebih dua liter minuman keras disita, dengan nilai rampasan sebanyak RM410,000.

"Dalam operasi kedua, beberapa bungkusan dadah pelbagai jenis seberat 3.3 kilogram, bernilai lebih RM13,000, telah dirampas. Operasi ketiga pula menyaksikan JKDM berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan minyak diesel bersubsidi bernilai RM210," katanya.

Tambah Abdul Ghafar, seramai 17 individu, terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita, ditahan dalam ketiga-tiga operasi tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN