fb fb fb fb fb

Bunuh abang, penganggur diarah jalani penilaian kesihatan mental

Mohd Khairul Hadafi Mohd Taib dituduh membunuh abangnya, 25 September lalu / FOTO BERNAMA

MANJUNG, 1 Oktober- Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung atas pertuduhan membunuh abang kandungnya, Rabu lalu.

Tertuduh Mohd Khairul Hadafi Mohd Taib, 40 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh manakala tiada jaminan ditawarkan kepadanya.

Mengikut pertuduhan Mohd Khairul dituduh membunuh abangnya, Mohamad Hairul Ridzuan Mohd Taib, 46 tahun di sebuah rumah di Taman Muhibbah, Sitiawan antara pukul 2.25 hingga 2.38 pagi, pada 25 September lalu.

Dia dituduh bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Majistret Fakhrul Razzi kemudian menetapkan 30 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Tertuduh turut diarahkan menjalani penilaian kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Ipoh.

Arahan itu dikeluarkan kepada tertuduh mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah berikutan keadaan mental tertuduh yang tidak stabil.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki membunuh abangnya sebelum membakar kawasan ruang tamu tempat mangsa ditemui, di sebuah rumah teres di Sitiawan.

Mangsa ditemui tertiarap dalam keadaan rentung di bahagian ruang tamu rumah, manakala tujuh ahli keluarga lain termasuk tertuduh berjaya menyelamatkan diri.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE