fb fb fb fb fb

Kastam Kelantan tahan sepasang suami isteri, 539,400 batang rokok seludup dirampas

FOTO BERNAMA

TUMPAT, 19 Januari- Sepasang suami isteri ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan dipercayai membawa sebanyak 539,400 batang rokok seludup menggunakan sebuah motolori dalam serbuan di Kampung Belimbing, Tanah Merah, 12 Januari lalu.
 
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pasangan berusia 34 tahun itu yang juga merupakan pemandu lori dan pembantunya ditahan pukul 11 pagi hasil intipan dan risikan anggota selama seminggu.
 
Menurut beliau, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas lori terbabit telah menjumpai rokok dengan anggaran nilai RM102,486.

Hasil siasatan turut mendapati, kedua-dua suspek mengambil upah membawa rokok tersebut dengan bayaran RM600 untuk satu perjalanan.
 
"Lori daripada Lembah Klang, tujuannya untuk menghantar barang ke Kelantan dalam masa sama untuk balik semula ke sana.

"Tidak mahu lori itu balik 'kosong' mereka ambil upah mengangkut rokok-rokok tersebut," katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Cawangan Pengkalan Kubor, Tumpat, hari ini.
 
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya percaya rokok-rokok dari China itu dibawa masuk ke Kelantan dari negara jiran menggunakan pengkalan haram.
 
Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan bekalan rokok seludup terbabit adalah untuk pekerja di sebuah tapak projek di Lembah Klang selain sempena Tahun Baru Cina berikutan rokok tersebut tidak dijual di kedai.
 
Keseluruhan nilai rampasan termasuk cukai dan lori adalah dianggarkan lebih RM648,000.
 
Kedua-dua suspek direman selama 10 hari bermula 13 hingga 22 Januari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE