GEORGETOWN, 19 Januari - Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dalam dua operasi berasingan di Butterworth dan Georgetown di sini dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM1.32 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata serbuan pertama dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sebuah lokasi di Butterworth, antara pukul 7 pagi hingga 5 petang, semalam.
“Dalam operasi itu, polis merampas dua bungkusan plastik lutsinar mengandungi 385 peket disyaki dadah jenis MDMA, seberat 5.95 kilogram, serta satu paket lutsinar disyaki serbuk ketamin seberat 915.71 gram, dengan nilai keseluruhan lebih RM1.05 juta.
"Tiga suspek, termasuk seorang wanita warga asing berusia antara 25 hingga 34 tahun, ditahan dan direman selama tujuh hari bermula hari ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau turut memaklumkan bahawa saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah.
Turut dirampas dalam serbuan itu ialah sebuah kereta, barang kemas, jam tangan berjenama, dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM56,000.
Dalam serbuan kedua yang dilakukan di Georgetown sekitar pukul 10.15 malam Jumaat hingga awal pagi semalam, polis berjaya membongkar sebuah stor penyimpanan dadah.
Empat lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 48 tahun ditahan dalam operasi itu.
“Polis merampas pelbagai jenis dadah, termasuk tujuh paket plastik lutsinar dipercayai heroin seberat 4.99 kilogram. Selain itu, kenderaan dan barang kemas turut disita dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM219,215,” jelasnya.
Kesemua suspek kini direman tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan. Menurut beliau, kedua-dua sindiket ini dikesan aktif sejak pertengahan dan Oktober 2024.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.